BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

About Me

My photo
Pendidikan Awal Kanak-kanak

Wednesday, March 31, 2010

Slide GIMNASTIK PENDIDIKAN

GIMNASTIK PENDIDIKAN slide

1.0 PENGENALAN

Gimnastik adalah satu sukan yang melibatkan prestasi pergerakan yang berulang-ulang, malah ia memerlukan kekuatan fizikal, kebolehlenturan (flexibility), dan kesedaran kinestetik seperti hambur tangan dan dirian tangan. Gimnastik merupakan salah satu sukan yang terdapat di Malaysia. Sejarah perkembangan awal sukan tersebut menunjukkan bahawa gimnastik pada mulanya berfungsi sebagai alat kecergasan badan dan akhirnya berkembang sehingga dipersembahkan pada masyarakat umum. Gimnastik dapat dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu termasuklah gimnastik Artistik, Irama, Trampolin, Paparan/Umum, Aerobik dan juga gimnastik Akrobatik. Bagi menguasai setiap gimnastik, konsep asas gimnastik perlu dikuasai terlebih dahulu iaitu konsep, imbangan, kelenturan dan konsep koordinasi. Menerusi perkembangan sukan gimnastik yang semakin mendapat perhatian masyarakat dunia, pengaplikasiannya dalam bilik darjah merupakan langkah yang baik bagi mengasah bakat setiap individu pada peringkat awal khususnya pada kanak-kanak prasekolah.

2.0 SEJARAH GIMNASTIK 2.1 Sejarah dan Perkembangan Awal (Dunia)

Sukan gimnastik telah bermula dan berkembang sejak 2000 tahun dahulu dan sangat berhubung rapat dengan peradaban manusia. Sejak 2000 tahun dahulu orang-orang Cina telah menggunakan senaman beramai-ramai bagi tujuan upacara keagamaan. Seratus tahun kemudian, orang-orang India dan Persia telah mengikutinya. Orang-orang Greek pula telah menamakan pergerakan ini sebagai GYMNASTICS dan tempat melakukan senaman ini secara beramai-ramai dikenali sebagai GYMNASIUM.
Walaupun perkembangan sukan gimnastik ini tidak dapat dikesan, tetapi Aristotle, seorang ahli falsafah berbangsa Greek telah menulis bahawa gimnastik tidak hanya sebagai seni, malahan ia juga merupakan salah satu bidang ilmu sains iaitu sains kemasyarakatan. Seorang ahli perubatan yang masyhur dan pengikut Hippocrates, Gelen, telah mencipta teori mengenai gimnastik yang menunjukkan ia sesuatu gerak kerja yang berpengetahuan dan mempunyai nilai-nilai yang tinggi dan masih digunakan sehingga sekarang.
Orang Roman pula telah menggunakan fahaman kebudayaan latihan jasmani orang Greek dan kemudian diperkembangkan sehingga menjadi salah satu peralatan dalam latihan ketenteraannya. Mereka juga membina patung kuda kayu untuk berlatih pergerakan naik dan turun kuda sebenar. Selain dari itu, mereka juga berlatih pergerakan ketangkasan lombol yang lain sehingga dikenali sebagai kekuda lombol sampai sekarang.
Empayar Roman di bawah pemerintahan Theodosius 1 dalam tahun 493 Masihi telah menghapuskan Sukan Olimpik purba dan berikutan dengan itu, kegemilangan sukan tersebut juga turutmerosot. Dengan runtuhnya Empayar Roman juga telah membawa kemerosotan minat orang ramai terhadap sukan gimnastik ini. Dalam abad ke-19, kebangkitan minat terhadap sukan purba ini kembali wujud. Dengan terbitnya buku, Gymnastics for youth oleh Guths Muth dalam tahun 1759 hibgga 1839 dan terjemahannya di sebar ke seluruh Eropah, telah banyak mempengaruhi perkembangan peringkat awal sukan gimnastik ini.

Pehr Ling dan Johan Ludwig Jahn merupakan penggerak utama sukan gimnastik, di mana Ling telah menyediakan asas pergerakan dalam Pendidikan Jasmani dan telah menjadi ikutan banyak Negara. Sementara itu, Jahn pula telah mengembangkan sistem gimnastik yang masih digunakan sekarang. Turnvereine atau kelab gimnastik merupakan idea beliau yang telah berkembang keseluruh Eropah sehingga ke Amerika Syarikat, dan perkataan turners yang bermaksud gimnas ( peserta atau ahli gimnastik ), masih digunakan di sana sehingga sekarang.
Perdebatan tentang tafsiran gimnastik Jerman yang lebih kepada pergerakan di alatan dengan penekanan kepada kekuatan otot dan daya tahan dibandingkan dengan penberian relative Swedish yang berdasarkan pergerakan berirama telah diperkatakan beberapa tahun kemudian. Pergerakan ini telah merebak ke Negara Inggeris di mana Skim Latihan Jasmani Tentera Bersekutu telah di tubuhkan dalam tahun 1860 yang lebih dikenali sebagai Staf Gimnastik Tentera. Kemudian daripada itu, Persekutuan Amatur Ginmastik telah ditubuhkan dalam tahun 1888. Perkembangan sukan ini terus mendapat sambutan dan pada tahun 1908, Alberto Braglia dari Itali telah memenangi johan keseluruhan acara gimnastik di Sukan Olimpik di London.
Selepas Perang Dunia Pertama, sambutan dan perkembangan gimnastik di England telah merosot disebabkan tanggapan bahawa ia berasal dari Jerman. Kemudian pihak berkuasa pendidikan pula telah mengharamkan pengajaran yang menggunakan alatan. Bagaimanapun selepas Perang Dunia Kedua, kerajaan Inggeris telah memberikan sokongan, dan pengaruh yang dimainkan oleh televisyen telah mengembalikan kepopularan sukan gimnastik ini. Walau bagaimanapun, di Negara-negara asal di mana gimnastik mula berkembang tetap terus maju dan menjadi sukan yang popular dan membawa kemegahan di peringkat Olimpik.

2.2 Sejarah Gimnastik Di Malaysia.

Gimnastik telah pun diajar di sekolah-sekolah dan maktab-maktab perguruan melalui mata pelajar Pendidikan Jasmani sejak zaman penjajahan lagi, iaitu kira-kira dalam tahun 1900. Murid-murid hanya diajar senaman lantai, imbangan dan melombol. Pertandingan gimnastik antara sekolah-sekolah yang pertama telah diadakan pada 24 November 1962 bertempat di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur bagi murid-murid lelaki sahaja. Pertandingan untuk murid-murid perempuan hanya dapat diadakan pada tahun 1980 sahaja.
Gimnastik telah mendapat sambutan ramai melalui pertunjukan di perayaan Hari Kebangsaaan dan temasya sukan sekolah-sekolah setelah Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Malangnya sehingga kini penyertaan dari negeri-negeri tidaklah begitu menggalakkan dan boleh dikatakan setiap tahun hanya antara lima negeri yang mengambil bahagian daripada 14 negeri yang menganggotai Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia. Negeri-negeri yang aktif dan sering mengambil bahagian dalam pertandingan-pertandingan gimnastik, khususnya peringkat sekolah-sekolah terdiri daripada Selangor, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan.

3.0 KONSEP ASAS DALAM GIMNASTIK

Konsep asas gimnastik terbahagi kepada tiga iaitu kelenturan, imbangan dan koordinasi. Ketiga-tiga konsep tersebut memainkan peranan penting dalam melahirkan ahli gimnastik. Dalam erti kata lain, ketiga-tiga konsep tersebut merupakan asas penilaian terawal seseorang individu yang ingin menceburkan diri dalam sukan gimnastik.

3.1 Konsep Imbangan

Imbangan ialah kestabilan yang dihasilkan oleh pengagihan berat yang sama rata di kedua-dua belah paksi menegak, yang juga mempunyai ciri-ciri kesepaduan unsur-unsur estetik yang menarik. Imbangan juga boleh difahami sebagai kebolehan seseorang mengekalkan posisi badannya ketika dia berada dalam keadaan tetap atau semasa melakukan sesuatu aktiviti. Contoh-contoh imbangan ialah seperti, aksi-aksi berjalan, berlari, melompat, mengguling, meloncat serta meluncur yang merupakan antara lakuanmemindahkan beban yang lazim. Contoh lain ialah berjalan sambil menjengket di atas garisan lurus dan juga berjalan di atas bangku gimnastik.

3.2 Konsep Kelenturan

Kelenturan ialah keupayaan meregang otot beserta kebebasan sendi bergerak dengan sepenuhnya. Contoh ialah membongkok badan ke hadapan. Menurut Safrit & Wood (1995), kelenturan boleh didefinisikan sebagai julat pergerakan sesuatu sendi, iaitu pergerakan dari fleksi ke ekstensi ataupun ekstensi ke fleksi. Fleksi adalah pergerakan menekuk atau membengkok. Ekstensi pula adalah pergerakan untuk meluruskan. Contoh bagi teori ini ialah gerakan ayunan lutut pada kegiatan gerak jalan.
Gerakan ayunan ke depan merupakan (ante) fleksi dan ayunan ke belakang disebut (retro) fleksi / ekstensi. Ayunan ke belakang yang lebih lanjut disebut hiperekstensi. Manakala menurut Johnson & Nelson (1986), kebolehan anggota dan sendi bergerak melalui julat pergerakan tanpa tekanan yang berlebihan pada bahagian “ artikulasi” dan penyambung otot.