BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

About Me

My Photo
Pendidikan Awal Kanak-kanak

Wednesday, March 31, 2010

Slide GIMNASTIK PENDIDIKAN

GIMNASTIK PENDIDIKAN slide

1.0 PENGENALAN

Gimnastik adalah satu sukan yang melibatkan prestasi pergerakan yang berulang-ulang, malah ia memerlukan kekuatan fizikal, kebolehlenturan (flexibility), dan kesedaran kinestetik seperti hambur tangan dan dirian tangan. Gimnastik merupakan salah satu sukan yang terdapat di Malaysia. Sejarah perkembangan awal sukan tersebut menunjukkan bahawa gimnastik pada mulanya berfungsi sebagai alat kecergasan badan dan akhirnya berkembang sehingga dipersembahkan pada masyarakat umum. Gimnastik dapat dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu termasuklah gimnastik Artistik, Irama, Trampolin, Paparan/Umum, Aerobik dan juga gimnastik Akrobatik. Bagi menguasai setiap gimnastik, konsep asas gimnastik perlu dikuasai terlebih dahulu iaitu konsep, imbangan, kelenturan dan konsep koordinasi. Menerusi perkembangan sukan gimnastik yang semakin mendapat perhatian masyarakat dunia, pengaplikasiannya dalam bilik darjah merupakan langkah yang baik bagi mengasah bakat setiap individu pada peringkat awal khususnya pada kanak-kanak prasekolah.

2.0 SEJARAH GIMNASTIK 2.1 Sejarah dan Perkembangan Awal (Dunia)

Sukan gimnastik telah bermula dan berkembang sejak 2000 tahun dahulu dan sangat berhubung rapat dengan peradaban manusia. Sejak 2000 tahun dahulu orang-orang Cina telah menggunakan senaman beramai-ramai bagi tujuan upacara keagamaan. Seratus tahun kemudian, orang-orang India dan Persia telah mengikutinya. Orang-orang Greek pula telah menamakan pergerakan ini sebagai GYMNASTICS dan tempat melakukan senaman ini secara beramai-ramai dikenali sebagai GYMNASIUM.
Walaupun perkembangan sukan gimnastik ini tidak dapat dikesan, tetapi Aristotle, seorang ahli falsafah berbangsa Greek telah menulis bahawa gimnastik tidak hanya sebagai seni, malahan ia juga merupakan salah satu bidang ilmu sains iaitu sains kemasyarakatan. Seorang ahli perubatan yang masyhur dan pengikut Hippocrates, Gelen, telah mencipta teori mengenai gimnastik yang menunjukkan ia sesuatu gerak kerja yang berpengetahuan dan mempunyai nilai-nilai yang tinggi dan masih digunakan sehingga sekarang.
Orang Roman pula telah menggunakan fahaman kebudayaan latihan jasmani orang Greek dan kemudian diperkembangkan sehingga menjadi salah satu peralatan dalam latihan ketenteraannya. Mereka juga membina patung kuda kayu untuk berlatih pergerakan naik dan turun kuda sebenar. Selain dari itu, mereka juga berlatih pergerakan ketangkasan lombol yang lain sehingga dikenali sebagai kekuda lombol sampai sekarang.
Empayar Roman di bawah pemerintahan Theodosius 1 dalam tahun 493 Masihi telah menghapuskan Sukan Olimpik purba dan berikutan dengan itu, kegemilangan sukan tersebut juga turutmerosot. Dengan runtuhnya Empayar Roman juga telah membawa kemerosotan minat orang ramai terhadap sukan gimnastik ini. Dalam abad ke-19, kebangkitan minat terhadap sukan purba ini kembali wujud. Dengan terbitnya buku, Gymnastics for youth oleh Guths Muth dalam tahun 1759 hibgga 1839 dan terjemahannya di sebar ke seluruh Eropah, telah banyak mempengaruhi perkembangan peringkat awal sukan gimnastik ini.

Pehr Ling dan Johan Ludwig Jahn merupakan penggerak utama sukan gimnastik, di mana Ling telah menyediakan asas pergerakan dalam Pendidikan Jasmani dan telah menjadi ikutan banyak Negara. Sementara itu, Jahn pula telah mengembangkan sistem gimnastik yang masih digunakan sekarang. Turnvereine atau kelab gimnastik merupakan idea beliau yang telah berkembang keseluruh Eropah sehingga ke Amerika Syarikat, dan perkataan turners yang bermaksud gimnas ( peserta atau ahli gimnastik ), masih digunakan di sana sehingga sekarang.
Perdebatan tentang tafsiran gimnastik Jerman yang lebih kepada pergerakan di alatan dengan penekanan kepada kekuatan otot dan daya tahan dibandingkan dengan penberian relative Swedish yang berdasarkan pergerakan berirama telah diperkatakan beberapa tahun kemudian. Pergerakan ini telah merebak ke Negara Inggeris di mana Skim Latihan Jasmani Tentera Bersekutu telah di tubuhkan dalam tahun 1860 yang lebih dikenali sebagai Staf Gimnastik Tentera. Kemudian daripada itu, Persekutuan Amatur Ginmastik telah ditubuhkan dalam tahun 1888. Perkembangan sukan ini terus mendapat sambutan dan pada tahun 1908, Alberto Braglia dari Itali telah memenangi johan keseluruhan acara gimnastik di Sukan Olimpik di London.
Selepas Perang Dunia Pertama, sambutan dan perkembangan gimnastik di England telah merosot disebabkan tanggapan bahawa ia berasal dari Jerman. Kemudian pihak berkuasa pendidikan pula telah mengharamkan pengajaran yang menggunakan alatan. Bagaimanapun selepas Perang Dunia Kedua, kerajaan Inggeris telah memberikan sokongan, dan pengaruh yang dimainkan oleh televisyen telah mengembalikan kepopularan sukan gimnastik ini. Walau bagaimanapun, di Negara-negara asal di mana gimnastik mula berkembang tetap terus maju dan menjadi sukan yang popular dan membawa kemegahan di peringkat Olimpik.

2.2 Sejarah Gimnastik Di Malaysia.

Gimnastik telah pun diajar di sekolah-sekolah dan maktab-maktab perguruan melalui mata pelajar Pendidikan Jasmani sejak zaman penjajahan lagi, iaitu kira-kira dalam tahun 1900. Murid-murid hanya diajar senaman lantai, imbangan dan melombol. Pertandingan gimnastik antara sekolah-sekolah yang pertama telah diadakan pada 24 November 1962 bertempat di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur bagi murid-murid lelaki sahaja. Pertandingan untuk murid-murid perempuan hanya dapat diadakan pada tahun 1980 sahaja.
Gimnastik telah mendapat sambutan ramai melalui pertunjukan di perayaan Hari Kebangsaaan dan temasya sukan sekolah-sekolah setelah Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Malangnya sehingga kini penyertaan dari negeri-negeri tidaklah begitu menggalakkan dan boleh dikatakan setiap tahun hanya antara lima negeri yang mengambil bahagian daripada 14 negeri yang menganggotai Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia. Negeri-negeri yang aktif dan sering mengambil bahagian dalam pertandingan-pertandingan gimnastik, khususnya peringkat sekolah-sekolah terdiri daripada Selangor, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan.

3.0 KONSEP ASAS DALAM GIMNASTIK

Konsep asas gimnastik terbahagi kepada tiga iaitu kelenturan, imbangan dan koordinasi. Ketiga-tiga konsep tersebut memainkan peranan penting dalam melahirkan ahli gimnastik. Dalam erti kata lain, ketiga-tiga konsep tersebut merupakan asas penilaian terawal seseorang individu yang ingin menceburkan diri dalam sukan gimnastik.

3.1 Konsep Imbangan

Imbangan ialah kestabilan yang dihasilkan oleh pengagihan berat yang sama rata di kedua-dua belah paksi menegak, yang juga mempunyai ciri-ciri kesepaduan unsur-unsur estetik yang menarik. Imbangan juga boleh difahami sebagai kebolehan seseorang mengekalkan posisi badannya ketika dia berada dalam keadaan tetap atau semasa melakukan sesuatu aktiviti. Contoh-contoh imbangan ialah seperti, aksi-aksi berjalan, berlari, melompat, mengguling, meloncat serta meluncur yang merupakan antara lakuanmemindahkan beban yang lazim. Contoh lain ialah berjalan sambil menjengket di atas garisan lurus dan juga berjalan di atas bangku gimnastik.

3.2 Konsep Kelenturan

Kelenturan ialah keupayaan meregang otot beserta kebebasan sendi bergerak dengan sepenuhnya. Contoh ialah membongkok badan ke hadapan. Menurut Safrit & Wood (1995), kelenturan boleh didefinisikan sebagai julat pergerakan sesuatu sendi, iaitu pergerakan dari fleksi ke ekstensi ataupun ekstensi ke fleksi. Fleksi adalah pergerakan menekuk atau membengkok. Ekstensi pula adalah pergerakan untuk meluruskan. Contoh bagi teori ini ialah gerakan ayunan lutut pada kegiatan gerak jalan.
Gerakan ayunan ke depan merupakan (ante) fleksi dan ayunan ke belakang disebut (retro) fleksi / ekstensi. Ayunan ke belakang yang lebih lanjut disebut hiperekstensi. Manakala menurut Johnson & Nelson (1986), kebolehan anggota dan sendi bergerak melalui julat pergerakan tanpa tekanan yang berlebihan pada bahagian “ artikulasi” dan penyambung otot.

3.3 Konsep Koordinasi

Konsep koordinasi dapat dilihat melalui pergerakan yang melibatkan keselarasan antara mata, tangan, kaki, dan badan. Koordinasi menyelaraskan sistem-sistem dan organ serta penting supaya setiap anggota badan dapat berfungsi secara bersepadu. Contoh aktiviti,ialah melambung dan menyambut bola besar atau pundi kacang yang mana memerlukan keselarasan mata, tangan,kaki dan badan untuk melambung dan menyambut bola tersebut. Koordinasi badan terdiri daripada koordinasi kimia dan juga koordinasi saraf.
Koordinasi kimia ialah bergandingan dengan koordinasi saraf serta dikawal oleh hormon dan kelenjar endokrin. Hormon ialah bahan kimia dalam badan yang mengawal aktiviti badan dan dihasilkan oleh bahagian badan yang disebut sebagai kelenjar endokrin. Kelenjar endokrin digelar kelenjar tanpa duktus kerana ia membebaskan hormon terus ke dalam aliran darah kita.
Terdiri daripada enam jenis kelenjar endokrin utama iaitu pituitari, tiroid, adrenal, pankreas, ovari dan juga testis. Jika kuantiti hormon ini tidak seimbang ia akan mencacatkan aktiviti badan dan contohnya ialah jika hormon yang dikeluarkan dari pankreas tidak mencukupi seseorang akan mengidap kencing manis. Dengan ini, secara tidak langsung mengganggu koordinasi dalam melakukan aktiviti.

4.0 POLA PERGERAKAN

Pola pergerakan dalam gimnastik terdiri daripada enam pola iaitu pergerakan statik, pergerakan pusingan/putaran, pergerakan hambur, pergerakan hayunan, layangan,dan pergerakan ketika mendarat. Setiap pola pergerakan tersebut, hendaklah dikuasai oleh setiap individu yang ingin berkecimpung dalam sukan gimnastik.
Pergerakan statik ialah mengimbang di atas sesuatu bahagian badan atau membiarkan badan dalam kedudukan tergantung. Dalam pergerakan yang bercorak statik, pusat graviti peserta adalah dalam keadaan tetap. Manakala pergerakan pusingan / putaran ialah berguling menuju ke sesuatu arah atau bergerak secara berpaksi. Pergerakan hambur pula ialah melompat atau melonjak ke paras lain hasil daripada tolakan kaki, tangan atau bahagian badan yang lain. Pergerakan hambur memerlukan kekuatan dan kepantasan.
Pola pergerakan seterusnya hayunan iaitu menghayun badan dari bahagian hadapan menuju ke bahagian belakang atau dari sisi (badan jadi tergantung). Dalam pergerakan layangan pula ialah individu mengerakkan badan di udara kepada paras yang tertentu selepas melonjak / menghambur dan sebelum mendarat. Dan akhir sekali ialah pergerakan ketika mendarat, individu perlu mengakhiri sesuatu layangan atau lompatan secara terkawak di atas lantai.
Jelasnya, pola pergerakan merupakan aspek yang perlu diberi perhatian. Malah setiap jenis gimnastik terdiri daripada setiap pola pergerakan dan setiap pola pergerakan amat berkait rapat dengan tiga konsep asas dalam gimnastik iaitu imbangan, kelenturan dan juga koordinasi. Keupayaan melakukan pusingan/putaran, hayunan, layangan, dan hambur jelas merupakan salah satu aktiviti yang menekankan konsep kelenturan itu sendiri.

JENIS-JENIS GIMNASTIK

Secara umumnya, gimnastik dapat dibahagikan kepada enam jenis iaitu Gimnastik Artistik, Gimnastik Irama, Gimnastik Trampolin, Gimnastik Paparan Umum, Gimnastik Aerobik dan juga Gimnastik Akrobatik.Setiap daripada jenis-jenis gimnastik tersebut mempunyai ciri-ciri yang tersendiri yang dapat membezakan antara satu dengan yang lain. Perbezaan dapat dilihat dari beberapa aspek iaitu termasuklah dari segi peralatan yang digunakan, bilangan ahli gimnastik, tempat aktiviti, masa persembahan, pola pergerakan dan juga dari segi corak persembahan.

4.1 Gimnastik Artistik

Gimnastik artistik ialah aktiviti yang berkait rapat dengan kecergasan fizikal. Ia lebih banyak fokus kepada komponen kecergasan berkaitan dengan kemahiran motor. Dalam melakukan aktiviti gimnastik artistik penekanan tertumpu kepada kekuatan daya tahan otot, kuasa, fleksibiliti, imbangan dan ketangkasan. Selain daripada itu, tumpuan fikiran yang tinggi juga diperlukan. Gimnastik artistik menekankan kepada tiga aktiviti utama iaitu imbangan, ketangkasan, dan lombolan. Ketiga-tiga aktiviti tersebut dipecahkan kepada beberapa pola pergerakan dominan yang menjadi asas kepada perkembangan kemahiran gimnastik. Setiap pola pergerakan seharusnya dapat dikuasai oleh pelajar sebagai persediaan kepada pergerakan gimnastik yang lebih luas.
Gimnastik artistik adalah biasanya terbahagi kepada gimnastik lelaki dan wanita. Setiap kumpulan melakukan acara berlainan; lelaki bersaing dalam melombol, palang sejajar, kekuda berpelana, gelang roman, palang tunggal, dan senaman lantai, manakala wanita bersaing dengan melombol, palang bertingkat, batang titian, dan senaman lantai. Walaupun rutin-rutin dipersembahkan pada acara mungkin pendek, secara fizikal adalah meletihkan dan menolak kekuatan gimnas, kebolehlenturan, ketahanan dan kesedaran kepada had.
Pola-pola pergerakan yang dianggap penting ialah Pendaratan, Statik, Gerak edar, Putaran, Hamburan,Ayunan. Manakala perkara-perkara penting yang perlu diberi perhatian ketika melakukan aktiviti gimnastik artistik iaitu, Keupayaan untuk meningkatkan kecergasan fizikal dalam aspek-aspek regangan, fleksibiliti, daya tahan dan kekuatan otot, ketangkasan imbangan, kemahiran serta melombol. Kebolehan merangkaikan ombangan, ketangkasan dan melombol dalam satu pergerakan. Meningkatkan keyakinan diri dalam melaksanakan sesuatu pergerakan yang lebih sukar. Penumpuan kepada pengekalan postur yang baik ketika melakukan pergerakan.
Keupayaan untuk menguasai kemahiran supaya keindahan pergerakan dapat dihasilkan serta keupayaan untuk menghayati pergerakan kinestetik dan estatik. Seseorang ahli gimnastik dinilai dari segi kekuatan, keseimbangan, dan ketepatan pergerakan. Dalam kejohanan gimnastik dunia dan sukan olompik, setiap pasukan akan merebut tiga kategori kejuaraan iaitu berpasukan, keseluruhan, dan individu untuk setiap alatan. Acara yang di pertandingkan bagi ahli gimnastik lelaki ialah; Senaman lantai,kekuda pelana, gelang,lombol, palang sejajar, palang tunggal. Gimnas wanita pula bertanding dalam empat acara iaitu” Senaman lantai, palang berperingkat, batang titian.

5.2 Gimnastik Irama

Gimnastik berirama adalah sukan di mana pesaing tunggal atau pasangan, trio atau malah lebih (biasanya lima) memanipulasi satu atau dua aparatus: tali, gelang, bola, belantan dan reben. Gimnastik berirama adalah satu sukan yang menggabungkan unsur-unsur balet, gimnastik, tarian teater, dan manipulasi aparatus. Pemenang adalah peserta yang memperoleh mata terbanyak, sebagai dianugerahi oleh panel hakim, untuk lompatan, kestabilan, putaran, kebolehlenturan, pengendalian aparatus, dan kesan seni.
Badan pentadbiran, Fédération Internationale de Gymnastique (FIG), mengubah Code of Points pada 2001, 2003, 2005, dan 2008 untuk menegaskan elemen teknikal dan mengurangkan subjektiviti kehakiman. Sebelum 2001, penghakiman adalah pada skala 10 mata seperti gimnastik artistik. Ia telah bertukar menjadi skala 30 mata pada 2003, skala 20 mata pada 2005, dan pada 2008 bertukar balik kepada skala 30 mata. Terdapat tiga nilai diambil kira menjadi mata akhir—-teknikal, artistik dan kesempurnaan.
Pertandingan antarabangsa dibahagikan antara remaja, di bawah enam belas oleh tahun kelahiran mereka; dan Senior, untuk wanita enam belas dan lebih sekali lagi oleh tahun kelahiran mereka. Gimnast lazimnya memulakan latihan pada usia sangat muda dan mereka yang berada pada terbaik lazimnya adalah pada lewat remaja atau awal dua puluhan. Kejohanan terbesar dalam sukan ini adalah Sukan Olimpik, Kejohanan Dunia, dan Kejohanan Grand Prix.
Gimnastik berirama yang berkembang daripada idea bagi I.G. Noverre (1722–1810), Francois Delsart (1811–1871), dan R. Bode (1881), yang kesemua mempercayai dalam pernyataan pergerakan, di mana seseorang menggunakan tarian untuk meluahkan diri sendiri dan bersenam pelbagai bahagian tubuh. Peter Henry Ling seterusnya mengembangkan idea dalam sistem latihan bebas Sweden abad ke-19, yang melayakan “aesthetic gymnastics”, di mana pelajar menyatakan perasaan-perasaan mereka dan emosi melalui pergerakan menyeluruh. Idea ini telah dilanjutkan oleh Catharine Beecher, yang mengasaskan Western Female Institute di Ohio, Amerika Syarikat, pada 1837.
Gimnastik berirama kompetitif bermula dalam 1940-an dalam Kesatuan Soviet. FIG mengiktiraf disiplin ini pada 1961, pertama seperti gimnastik moden, kemudian sebagai gimnastik berirama sportive, dan akhirnya sebagai gimnastik berirama. Kejohanan Dunia pertama untuk gimnas individu mengambil tempat pada 1963 di Budapest, Hungary. Kumpulan telah diperkenalkan pada tahap yang sama pada 1967 di Copenhagen, Denmark. Gimnastik berirama telah ditambah di Sukan Olimpik Musim Panas 1984 di Los Angeles, dengan pertandingan Individual All Around. Bagaimanapun, banyak persekutuan daripada negara-negara Eropah Timur telah dipaksa untuk memulau. Lori Fung dari Kanada adalah gimnas berirama pertama untuk mengondol satu pingat emas Olimpik. Pertandingan kumpulan telah ditambah ke Sukan Olimpik Musim Panas 1996 di Atlanta, Georgia.
Disiplin gimnastik berirama adalah hanya disaingi oleh wanita (walaupun terdapat versi baru disiplin ini untuk lelaki dipelopori di Jepun, lihat gimnastik berirama lelaki), dan melibatkan prestasi lima rutin berasingan dengan penggunaan lima apparatus— bola, reben, gelung, belantan, tali —- di kawasan lantai, dengan penekanan lebih hebat lagi di keindahan berbanding akrobatik.

5.3 Gimnastik Trampolin

Double Mini-trampoline competitor
Trampolin dan tumbling terdiri daripada empat acara, individu, berirama, double mini dan power tumbling. Sejak 2000 trampolin individu telah termasuk dalam Sukan Olimpik. Rutin-rutin individu melibatkan satu fasa peningkatan semasa gimnas melompat berulang kali untuk mencapai ketinggian, diikuti oleh satu urutan sepuluh lompatan tanpa berhenti di mana gimnas mempersembahkan satu urutan kemahiran udara (aerial skills). Rutin-rutin adalah diadili daripada 10 mata maksimum.
Mata tambahan (dengan tiada maksimum di peringkat pertandingan tertinggi) boleh diperoleh bergantung kepada kesukaran pergerakan. Dalam pertandingan peringkat tinggi, terdapat dua rutin saringan, satu yang hanya mempunyai dua pergerakan untuk mendapat markah bagi kesukaran dan satu di mana atlet adalah bebas untuk melaksanakan mana-mana rutin. Ini diikuti oleh satu rutin akhir yang merupakan pilihan. Sesetengah pertandingan memulakan semula mata dari kosong untuk akhir, yang lain menambah mata akhir dengan keputusan saringan.
Trampolin berirama adalah sama kecuali bahawa kedua-dua peserta perlu melaksanakan rutin serentak dan mata dianugerahkan untuk synchronicity serta bentuk dan kesukaran bagi langkah-langkah. Double trampolin mini melibatkan satu run-up trampolin yang lebih kecil, dua pergerakan adalah dipersembahkan untuk saringan dan dua lagi untuk akhir. Pergerakan tidak boleh berulang dan markah diberi secara serupa kepada trampolin individu. Dalam power tumbling melibatkan, atlet melakukan satu siri lambungan meletup dan putaran jatuh pada trek lompatan tumbling. Permarkahan adalah menyerupai trampolining.

5.4 Gimnastik Paparan/Umum

Gimnastik umum bermaksud ia terbuka yang membolehkan orang dari berbilang umur dan keupayaan untuk menyertai kumpulan prestasi daripada 6 sehingga lebih 150 atlet. Mereka mempersembahkan perkara harian yang dilakukan dalam gimnastik ini seperti mempunyai irama,pergerakan dan aktiviti menari. Malahan dalam gimnastik ini juga ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu menyertainya.
Kumpulan yang mahu menyertainya tidak difokuskan mengikut jantina tetapi ia terbuka kepada perempuan dan lelaki. Namun ada sesetengah daripada mereka yang menubuhkan pasukan gimnastik campuran antara lelaki dan perempaun. Di dalam gimnastik paparan umum ini juga tidak mengehadkan peringkat dalam penyertaan. Oleh itu sesiapa sahaja boleh menyertainya.

5.5 Gimnastik Aerobik

Gimnastik aerobik merupakan aktiviti senamrobik dimana ia memperlihatkan perkembangan kegiatan harian oleh individu tertentu sama ada dalam kumpulan atau persendirian. sekiranya ia dibentuk dalam bentuk kumpulan ia boleh terdiri daripada enam orang ahli dalam satu pasukan. Gimnastik menitikberatkan kekuatan, kelenturan, dan kesihatan seseorang yang melakukannya. Ia berbeza dengan gimnastik akrobatik kerana gimnastik akrobatik lebih mementingkan kemahiran dan keseimbangan. Disamping itu, gimnastik aerobik boleh dilakukan dalam kawasan yang kecil atau memerlukan penggunaan ruangan yang agak kecil. Masa yang digunakan juga hanya sedikit iaitu antara 60-90 saat sahaja.

5.6 Gimnastik Akrobat

Ia merupakan sejenis sukan dahulunya, sering disebut “acro” dimana ia adalah disiplin gimnastik untuk lelaki dan perempuan. untuk menyertai gimnastik ini seseorang itu perlu mengikut peraturan-peraturan yang telah disediakan. Namun sekiranya mempunyai kumpulan sendiri mereka terbuka untuk memilih muzik dalam melakukan pergerakan mereka sendiri. Ia tidak terikat dengan dengan mana-mana peraturan untuk memilih muzik semasa melakukan gimnastik ini.

6.0 APLIKASI GIMNASTIK DALAM PENDIDIKAN 6.1 Definisi Gimnastik Pendidikan

Gimnastik pendidikan boleh didefinisikan sebagai satu pendekatan dalam pendidikan gimnastik. Ianya memberi tumpuan kepada pembelajaran individu yang unik dari segi gaya pergerakan, pembelajaran dan juga perkembangan pelajar.

6.2 Konsep Gimnastik Dalam Pendidikan

Gimnastik pendidikan boleh didefinisikan sebagai satu pendekatan dalam pendidikan di Malaysia. Gimnastik pendidikan ini ianya memberikan tumpuan kanak-kanak kepada pembelajaran dan pengajaran yang unik dari beberapa segi iaitu dari segi gaya pergerakan, pembelajaran dan perkembangan seseorang pelajar atau kanak-kanak. Konsep gimnastik pendidikan dilakukan dengan tujuan yang tertentu adalah untuk meningkatkan keupayaan kanak-kanak dalam setiap pergerakan. Setiap pergerakan yang dibuat membolehkan kanak-kanak atau pelajar mempelajari sesuatu yang baru dalam pelajaran mereka. Selain itu, pendidikan gimnastik juga memberi peluang untuk melihat pergerakan yang dapat dilakukan oleh murid. Kadang kala kanak-kanak tidak pasti yang dapat melakukan pergerakan-pergerakan yang ditunjukkan oleh guru. Tetapi apabila kanak-kanak itu mencuba aktiviti yang dibuat, guru akan dapat mengenal pasti kebolehan kanak-kanak dalam gimnastik.

Apabila kanak-kanak dapat melakukan pergerakan yang ditunjukkan oleh guru, mereka akan dapat menyelesaikan masalah-masalah pergerakan yang dihadapi. Hal ini demikian kerana, tubuh badan tidak dapat mengetahui sama ada dapat melakukan sesuatu pergerakan atau tidak melainkan dengan membuat pergerakan itu terlebih dahulu. Murid juga perlu mengatasi rintangan dengan pelbagai cara pergerakan. Antara contoh pergerakan yang dilakukan oleh murid adalah gulingkan badan dari depan ke belakang dengan bertubi-tubi, bergerak dari setempat ke setempat yang lain, dan melakukan pergerakan dari setingkat kepada setingkat yang lain. Peralatan yang digunakan dalam gimnastik ini ialah gelung, tilam, reben peti tombol, bangku essex, pemidang taiping, dan sebagainya.

6.3 Kepentingan Gimnastik Dalam Kepentingan

Gimnastik terdapat banyak kepentingan dalam pendidikan di dalam bilik darjah. Kepentingan gimnastik adalah kerana aktiviti-aktiviti yang dijalankan mudah dilakukan oleh kanak-kanak dan aktiviti ini melibatkan ketangkasan serta lompatan yang dilakukan kanak-kanak. Hal ini demikian akan menambahkan lagi pengalaman latihan jasmani secara menyeluruh untuk seseorang kanak-kanak di dalam bilik darjah. Keunggulan aktiviti gimnastik ini ialah kebanyakkan acaranya bersifat perseorangan dan kanak-kanak itu akan terpaksa menghadapi cabarannya tersendiri. Apabila kanak-kanak itu dapat menghadapi cabaran yang dilaluinya, mereka akan dapat meningkatkan daya fikiran, menambahkan keyakinan pada diri sendiri danjuga keberanian dalam menempuh pelbagai pergerakan dalam gimnastik.
Selain itu seorang kanak-kanak itu akan dapat mengembangkan perkembangan motor kasar dan juga motor halus mereka. Hal ini demikian kerana, pergerakan dalam gimnastik berkaitan dengan pergerakan lokomotor dan juga pergerakan bukan lokomotor. Pergerakan lokomotor ialah pergerakan yang melibatkan motor kasar. Pergerakan ini dilakukan oleh seseorang yang menyebabkan dia berubah kedudukan di tempat asal. Manakala pergerakan bukan lokomotor atau pergerakan motor halus melibatkan keupayaan untuk menggerakkan bahagian tubuh badan tanpa beralih kedudukan. Kepentingan gimnastik lain ialah mencabar daya fikiran kanak-kanak. Apabila kanak-kanak melakukan pelbagai pergerakan, mereka akan berfikir secara lebih meluas untuk menambahkan lagi aksi atau pergerakan yang baru. Dalam erti kata lain, kanak-kanak berpeluang untuk meneroka kecergasan tubuh badan mereka sendiri.
Di samping itu juga, pergerakan gimnastik dapat bertindak atau menyelesaikan masalah secara kreatif dalam keadaan yang mereka mampu untuk melakukannya. Apabila kanak-kanak melakukan latihan mereka akan sanggup berkongsi peralatan dengan rakan-rakan yang lain. Hal ini akan mengeratkan hubungan persahabatan di antara kanak-kanak itu. Pergerakan gimnastik juga menjadikan kanak-kanak sebagai pemimpin yang cekap serta menjadikan alat kepada individu atau kelompok untuk bertindak dalam pelbagai situasi secara konstruktif dari segi fizikal, mental, dan juga sosial. 

6.4 Aplikasi Gimnastik Dalam Pendidikan

Berdasarkan kepada jenis-jenis gimnastik, dapatlah kita aplikasikan dalam bilik darjah khususnya pada kanak-kanak prasekolah iaitu kanak-kanak yang berumur antara 4 hingga 6 tahun.Pada peringkat ini mereka telah pun mempunyai kemahiran lokomotor, bukan lokomotor dan juga kemahiran manipulatif yang telah matang.

6.4.1 Saiz Kelas

Lazimnya, saiz kelas untuk prasekolah hanya dalam kuantiti yang kecil sahaja iaitu kira-kira 25 orang murid sahaja. Dengan bilangan yang kecil, memudahkan guru dalam memantau setiap perkembangan murid baik dari segi kognitif, psikomotor dan juga afektif. Bagi memastikan keadaan dalam terkawal, saiz kelas memainkan peranan yang penting lebih-lebih lagi kanak-kanak prasekolah terkenal dengan pelbagai ragam.

6.4.2 Peralatan

Antara peralatan yang digunakan bagi menjalankan aktiviti gimnastik termasuklah tilam/ carpet, gelung, bola, dan reben/tali. Peralatan yang digunakan hendaklah selamat untuk digunakan iaitu bukan terdiri daripada benda yang boleh membahayakan kanak-kanak itu sendiri semasa menggunakannya. Contohnya, peralatan yang runcing atau tajam.

6.4.3 Aspek Keselamatan

Dalam menjalankan aktiviti, aspek yang penting diberi perhatian adalah aspek keselamatan. Terdapat beberapa elemen yang perlu dititikberatkan antaranya termasuklah dengan mengenalpasti tahap kemampuan dan kecergasan seseorang murid, kemudahan peralatan yang sesuai mengikut peringkat umur, persekitaran iaitu kesesuaian persekitaran dengan aktiviti yang akan dijalankan. Selain itu, guru juga hendaklah peka dengan melakukan penyeliaan terhadap murid-murid dengan memberi arahan dan bimbingan dengan sebaik mungkin.

6.4.4 Contoh Aktiviti 1 (Stesen)

Antara aktiviti yang dapat diaplikasikan dalam bilik darjah ialah pergerakan dari satu tempat ke tempat yang lain dengan menggunakan stesen.Contohnya, stesen 1, kanak-kanak hendaklah berjalan, stesen 2, pula kanak-kanak hendaklah berguling dan stesen 3, kanak-kanak akan melompat. Dalam sedar mahupun tidak, kanak-kanak cenderung untuk bermain. Melalui bermain, mereka dapat meneroka kemampuan tubuh badan mereka sendiri. Dengan ini, dengan melakukan aktiviti pergerakan dalam berkumpulan, iaitu dengan menggunakan stesen khususnya dapat meningkatkan kemahiran asas lokomotor mereka iaitu kanak-kanak dapat mengembangkan motor kasar dan motor halus mereka. Contoh aktiviti yang tedapat dalam stesen iaitu, aktiviti berguling merupakan salah satu elemen penting dalam konsep asas gimnastik iaitu kelenturan. Manakala aktiviti berjalan di atas titian, juga merupakan elemen penting yang cuba diterapkan dalam diri kanak-kanak agar berupaya mengimbangkan posisi badannya dalam keadaan tetap atau semasa melakukan aktiviti.
Selain itu, kanak-kanak dapat meningkatkan kesedaran tubuh badan iaitu bergerak untuk menghasilkan kelajuan.Melalui aktiviti pergerakan dengan menggunakan stesen, kanak-kanak dapat bergerak mengikut kelajuan yang dipilih bersesuaian dengan situasi dan alat yang digunakan.Antara nilai berdasarkan aktiviti tersebut dapat memupuk sikap rajin dan berusaha disamping dapat mengeratkan silaturrahim di antara mereka.Objektif aktiviti tersebut pula dapat melakukan aktiviti dengan koordinasi bahagian-bahagian anggota badan dengan selamat menggunakan ruang dan alat dengan bijak dan berkesan. Konsep bermain sambil belajar tersebut dapat menarik lagi minat setiap individu untuk terlibat dalam melakukan aktiviti bersama rakan-rakan.

6.4.5 Contoh Aktiviti 2 ( Aplikasi Gimnastik Paparan/Umum)

Aktiviti kedua pula, merupakan adaptasi dari gimnastik paparan/umum iaitu memberi peluang kepada kanak-kanak berbilang umur dan keupayaan untuk menyertai kumpulan yang terdiri daripada 6 orang ahli sehingga lebih 150 orang.Dengan ini, kanak-kanak dari 2 atau 3 kelas dapat digabungkan sekali dalam satu masa. Kreativiti guru penting dalam memastikan aktiviti yang dirancang berjalan dengan lancar.
Pemilihan tempat aktiviti perlu dititikberatkan. Jelasnya, aktiviti tersebut memerlukan ruang yang agak besar. Dengan ini, kawasan yang sesuai ialah tempat yang terbuka, misalnya boleh dilaksanakan di padang mahupun di dalam dewan. Aktiviti tersebut memerlukan seseorang melakukan pelbagai pergerakan bersama rakan-rakan.Setiap individu menyesuaikan pergerakan dengan secara berpasangan atau pun berkumpulan. Dengan ini, secara tidak langsung kanak-kanak dapat meningkatkan kemahiran kesedaran perkaitan dengan orang lain. Mereka dapat berinteraksi antara satu sama lain.
Antara aktiviti yang dapat kita lihat, ialah mereka bebas melakukan aktiviti mengikut kemampuan dan citarasa bersama. Dengan ini, secara tidak langsung mereka dapat menyelesaikan masalah melalui pergerakan kreatif di samping menekankan konsep asas dalam gimnastik iaitu konsep, kelenturan dan konsep imbangan. Iaitu, aktiviti menggerak-gerakkan anggota tubuh badan, membongkokkan badan dapat meningkatkan keupayaan mereka dalam konsep kelenturan. Corak persembahan mereka iaitu, melakukan sesuatu aktiviti dengan mengekalkan posisi badan sama ada tetap atau melakukan aktiviti juga dapat meningkatkan kemahiran konsep imbangan gimnastik.
Selain itu, aktiviti aplikasi daripada gimnastik paparan tersebut juga dapat meningkatkan kemahiran kesedaran perkaitan dengan orang lain. Kemahiran ini penting dalam usaha kanak-kanak berinteraksi bersama rakan-rakan yang mana seseorang kanak-kanak melakukan pelbagai pergerakan bersama rakan-rakan.

7.0 KESIMPULAN

Secara kesimpulannya, dapatlah disimpulkan bahawa jenis-jenis gimnatik tersebut dapat kita bezakan melalui ciri-ciri yang terdapat pada setiap jenis gimnastik tersebut. Konsep kelenturan, imbangan dan koordinasi perlu diterapkan terlebih dahulu bagi melahirkan ahli gimnastik yang cemerlang. Jenis-jenis gimnastik tersebut dapat diaplikasikan dalam konteks pendidikan yang mana dapat memberi peluang kepada setiap individu untuk berjaya dalam hidup khususnya mereka yang memiliki kecerdasan kinestetik. Dengan pengaplikasian dalam bilik darjah, dapat memberi ruang dan peluang seseorang individu yang memiliki kecerdasan tersebut untuk mengasah dan mempertingkatkan lagi potensi yang ada dalam diri mereka tanpa mereka sedari. Setiap individu yang dilahirkan memiliki kelebihan dan kecenderungan masing-masing. Oleh itu, pengaplikasian jenis-jenis gimnastik amatlah wajar untuk diaplikasikan dalam bilik darjah ekoran pelbagai manfaat dapat diperoleh. Sesungguhnya, ukuran pencapaian seseorang individu tidak terletak pada pencapaian akademik semata-mata.